Blog baru
Sekian lama, ingin sekali keluar dari kepompong blog friendster yang terhad ini...
Maka, lawatlah blog saya yang terbaru.
Sekian lama, ingin sekali keluar dari kepompong blog friendster yang terhad ini...
Maka, lawatlah blog saya yang terbaru.
Agak lama tidak membuat entri dalam blog ini lantaran menumpukan perhatian sepenuhnya pada blog Kelab Orator Universiti Malaya. Entah bila saya akan mempunyai blog sendiri di luar kepompong blog Friendster ini pun saya tidak tahu.
Apa-apapun, lawatlah blog Kelab Orator Universiti Malaya.
Kebanyakan pengguna LRT Rapid KL Aliran Kelana (saya lebih suka memanggilnya PUTRAline), pasti pernah melalui stesen Pasar Seni, antara stesen paling sibuk di rangkaian pengangkutan awam tidak berpemandu ini. Apa yang menarik perhatian saya ialah lukisan graffiti yang terdapat di dinding sungai Klang, betul-betul berhadapan dengan stesen ini.
Hasil lukisannya sangat menarik. Ada not RM50, ayat merintih pada Tuhan, Optimus Prime dan Transformers dsb. Tidak dinafikan, manusia-manusia yang menghasilkan graffiti ini sangat kreatif dan bakatnya boleh dikembangkan.
Permasalahannya, adakah ia kena pada tempatnya? Walaupun graffiti yang dihasilkan cantik, saya masih lagi merasakan bahawa ia telah mencacatkan pemandangan ibukota Kuala Lumpur. Mengapa saya berkata demikian? Kerana lukisan tersebut yang tidak ada tema atau keseragaman, jelas-jelas mencerminkan bahawa graffiti tersebut merupakan hasil vandalisma oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab.
Apa salahnya jika DBKL mengambil langkah bijak, memastikan kekreatifan manusia-manusia ini tidak disia-siakan. Ambil contoh seperti di Penjara Pudu, membuat mural di dinding penjara. Namun kali ini, membuat graffiti di tebing sungai agar lebih indah dan cantik.
Walaupun saya katakan ia merupakan suatu vandalisma, ia tetap menarik. Haha!
Setelah tamat edisi Debat Diraja 2007, terus memulakan latihan untuk Debat Perpaduan dan Integrasi Nasional 2007 yang diadakan di Universiti Malaysia Pahang, Kuantan.
Saya berpeluang mengemudi pasukan, diletakkan bersama-sama orang pendebat muda iaitu Mohd Shahid (asasi), Shen Yee Aun (tahun 1) dan Luqman Hakim (tahun 1). Terima kasih kepada konsultan terhormat UM, En Azizul Hakim atas kepercayaan mengemudi pasukan muda yang saya kira jarang dilakukan oleh mana-mana pendebat tahun ke-4 seperti saya.
Atas kepercayaan tersebut, harapan saya cukup besar; menjengah ke pentas final. Namun, saya harus akur dengan takdir dan kesilapan diri sendiri kerana gagal ke pentas perdana, sekadar menamatkan perjuangan di pusingan separuh akhir.
Pengajaran paling berharga yang saya peroleh ialah sesungguhnya usaha sesama ahli (teamwork) adalah asas kepada kejayaan sesuatu pasukan. Pasukan perlu seimbang, ada sefahaman dan elakkan permasalahan.
Teguran untuk mana-mana pendebat, baik UM mahupun universiti lain, setiap kemenangan perlu dilihat sebagai kejayaan bersama, walaupun anda acapkali diiktiraf sebagai pendebat terbaik perlawanan. Kekalahan pula dinilai sebagai kesilapan bersama yang harus dimuhasabah agar pengajarannya dapat dicontohi oleh orang lain. Ingat! Orang yang pandai ialah orang yang belajar daripada kesilapan, dan orang yang bijak pandai ialah orang yang belajar daripada kesilapan orang lain.
Juga buat adik-adik juniorku yang baru menapak di arena perdebatan, ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Sesungguhnya, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Sekalung tahniah buat kalian atas usaha bersama kita, meletakkan pasukan kita di tangga teratas liga, membawa pasukan ke separuh akhir dan meletakkan diri sebaris dengan pendebat lebih berpengalaman merupakan kejayaan buat kalian.
Buat pendebat muda IPT (terutamanya UM), banyakkan belajar dari pengalaman. Jangan takut untuk kalah, jangan ghairah untuk menang, kerana kekalahan menguatkan dan kemenangan bisa melemahkan. Allah itu Maha Adil. Rezekinya luas dan berpadanan dengan usaha kita, InsyaAllah.
Buat yang bertanggungjawab, pikul dan galas amanah anda sebaik mungkin. Jangan dibuat sambil lewa, pabila gagal menuding jari dan melepaskan diri. Ingat bahawa segala amanah yang anda pikul akan dipersoal kelak, baik oleh Tuhan mahupun sesama manusia.
Buat rakan, kawan, juga sahabat, kelmarin yang luput manjadi kenangan, semalam yang hilang menjadi suatu memori dan pengalaman, yang ada cuma hari ini, kerana esok belum pasti milik kita, sedangkan satu minit berlalu akan pergi buat selamanya. Perjuangan bersamamu akan terpahat seumur hidup, biar perit jerih dan manisnya bercambur-baur, kerana itulah yang menjadi rencah kehidupan.
Buat kesemuanya, marilah sama-sama kita memupuk semangat perdebatan yang tinggi. Buangkan sengketa, elakkan hasad, semaikan persaingan sihat dan kerjasama antara satu dengan lain harus dipertingkat, demi memastikan arena perdebatan IPT terus gemilang.
Definisikanlah kesilapan sebagai pengalaman, ia akan mengajar kita...
Entri ini bukan mengenai diri saya. Jauh sekali terdetik hendak menganggap diri ini legenda kerana tidak mahu jadi seperti watak dalam filem ini...
Khamis lalu (13 Disember), saya berkesempatan menonton di pawagam bersama-sama rakan debat yang lain. Awalnya merancang untuk menonton filem The Golden Compass, namun niat terbantut kerana waktu kurang sesuai.
Maka dipilih pula filem I Am Legend. Untuk menyedapkan hati, saya berkata, "...filem lakonan Will Smith tiada yang mengecewakan. Merujuk kepada filem-filem beliau sebelum ini, memang tiada satu pun yang tidak mencapai box-office.
Hampir dua jam di pawagam, tekaan saya memang tepat. Filem ini sangat hebat. Awal cerita, filem ini berjaya mencetuskan beberapa persoalan yang menarik untuk dijawab oleh penonton. Apa yang hendak diceritakan? Apa yang berlaku? Mengapa tiba-tiba bandar Manhattan kosong? Mana pergi manusia lain? Persoalan ini mula terjawab satu persatu sepanjang cerita ini yang mana diselitkan dengan flashback yang saya kira sangat baik susunannya. Kebiasaannya, filem-filem sebelum ini tidak berapa menarik sehingga saya sendiri boleh menumpukan perhatian pada skor muziknya semata, namun saya tidak sempat berbuat demikian pada filem ini kerana unsur suspens dan persoalannya memaksa saya berfikir dan bersedia untuk menghadapi kejutan. Zul Fadhli (Otel) di sebelah saya bertindak baik, menambah unsur kejutan dengan bertindak sebagai penggegar kerusi panggung apabila terkejut melihat Darkseeker yang muncul secara tiba-tiba.
Saya tidak begitu pandai komen tentang filem. Namun, saya syorkan pada semua, bacalah mana-mana review tentang filem ini (contohnya di Yahoo! Movies) dan tontonilah filem ini di pawagam. Bukan niat untuk terlalu taksub dengan Hollywood, namun kalau tidak mahu rugi beratur atau membayar harga tiket, tontonilah filem ini.
Korang (Otel, Luqman, Shahid, Acap, John, Zati, Zami), lengkali leh menonton sama lagi ek...
Seringkali orang merajuk kerana dia kecil hati orang
lain tidak mengendahkannya. Sama ada orang tidak memuliakannya dengan
memberikannya satu kedudukan atau tempat yang istimewa, atau tidak menerima
pandangannya, atau tidak menunaikan permintaannya.
Siapa yang kena penyakit merajuk? Penyakit merajuk ini boleh kena pada
siapa-siapa sahaja, tidak kira lelaki atau perempuan, tidak kira tua atau pun
muda, orang yang besar atau pun kecil, anak boleh merajuk dengan emak, emak
boleh merajuk dengan anak.
Merajuk ini berpunca dari hati yang kurang ada rasa
kehambaan. Bila tidak rasa diri
hamba, dia akan merasakan yang dirinya itu tuan. Sebagai ‘tuan’, dia perlulah
dimuliakan. Kata-katanya perlu didengar dan dikotakan.
Sebenarnya, hatinya marah kerana tidak diberi perhatian. Tetapi mungkin
kerana malu atau tidak ada kuasa, ataupun mungkin kerana beranggapan yang
marah-marah itu satu sikap yang lebih tidak baik, marahnya pun tidak
dilepaskan. Sebaliknya, dia mengalihkan marahnya kepada merajuk. Dengan
merajuk, orang akan faham yang dia sebenarnya marah walaupun dia sekadar
mendiamkan diri sahaja.
Apakah merajuk lebih baik dari marah? Kedua-duanya adalah sifat
terkeji yang mesti diungkai. Kedua-duanya timbul dari rasa diri mulia
yang mesti dihormati. Lebih ditakuti lagi kalau orang yang merajuk itu menyangka
yang sikapnya itu tidak salah atau dirinya itu lebih baik daripada orang yang
marah-marah. Dia sebenarnya sudah tertipu. Dan kalau dia tidak bertaubat
atas dosanya ini, dia akan dihukum di akhirat kelak.
Maka untuk mengubatinya, kita perlulah tanamkan sifat-sifat kehambaan.
Sifat ini ialah merasakan yang Tuhan itu Maha Berkuasa. Dia boleh
timpakan apa sahaja ke atas kita sama ada perkara yang kita suka ataupun tidak.
Kalau kita membantah sama ada dengan cara marah-marah atau merajuk, kita bukan
sahaja marah atau merajuk kepada orang yang “menyakiti hati” kita itu, tetapi
kita juga sebenarnya menentang takdir Tuhan ke atas diri kita. Kalau Tuhan
tidak izinkan perkara itu berlaku ke atas kita, tentu ia tidak akan berlaku. Berlakunya
ia ke atas kita ialah kerana Tuhan memang hendakkan perkara itu berlaku.
Sifat kehambaan juga ialah merasakan yang kita ini hamba yang lemah dan
tidak berkuasa. Siapalah kita yang hendak menolak takdir Tuhan. Kita harus
terima apa sahaja yang Tuhan timpakan ke atas kita. Kalau orang tidak muliakan
kita, memang kita pun tidak layak untuk dimuliakan.
Sebagai hamba, kita juga merasakan yang diri kita banyak berdosa.
Justeru itu, layak sangatlah kalau hati kita disakiti, moga-moga dengan kita bersabar,
Tuhan akan hapuskan dosa-dosa kita. Kita juga mungkin sudah lebih banyak
menyakiti hati orang lain. Lantaran itu, kita patutlah bersabar bila hati kita
sedikit sebanyak disakitkan pula...
Wallahu a'lam........
Sudah setahun sejak post saya yang lepas mengenai Debat Diraja 2006.
Kini, Pertandingan Debat Diraja 2007 sudahpun melabuhkan tirainya. Gelaran naib johan yang disandang oleh pasukan UM (Utama) amat disyukuri, walaupun gagal mempertahankan kejuaraan.
Benar, banyak yang saya pelajari dalam edisi debat diraja kali ini. Pendebat tidak boleh hadir dengan otak yang kosong. Subjek perdebatan serta isu untuk penghujahan perlu dikuasai agar perdebatan berlangsung secara intelek dan bukannya atas retorik semata-mata. Itulah kelemahan yang saya kira perlu untuk diperbaik untuk kejohanan akan datang.
Pengalaman digandingkan dengan Zul Fadhli dan Haris Mohd Ghazali (untuk kali pertama dan terakhir) merupakan pengalaman yang bermakna. Juga pertama kali diletakkan di posisi pendebat pertama sepanjang kejohanan memberi satu paradigma dan tanggungjawab baru untuk digalas. (Baru saya tahu betapa sukarnya tugas ini berbanding menjadi pendebat ke-2). Terima kasih pada Otel kerana pimpinan ke atas team berjaya ke pentas final untuk kali ke-n dan kepada Haris, sebagai newcomer dalam debat intervarsiti, anda sangat bagus. Selepas ini, tumpukan pada buku, jadikan debat sebagai kenangan terindah yang tidak akan dilupa sepanjang hayat.
Kepada yang lain, terima kasih daun keladi saya ucapkan. Buat Azizul, Azerai n Hasril, kalian amat bermakna buat kami. Pada yang lain; John, Dayat, Shen, Acap, Shahid, Shahril, Mazuin, Zati, Luqman, Zahid dan Fairus, terima kasih kerana menerima orang tua ini dengan baik sekali. Ingat pada anugerah yang kita kecapi pada malam tersebut, amat sukar untuk mencapainya, lagi sukar untuk mengekalkannya. Maka tanggungjawab yang anda pegang amatlah besar sekali.
Buat keluarga; ibu, ayah dan semuanya, terima kasih atas doa anda.
Baru lepas membaca artikel di utusan, tentang Prof A Razak yang banyak membuat filem. Katanya, filemnya teruk.
Razak Mohaideen marah dikritik
A.RAZAK Mohaideen naik angin apabila ada orang mengkritik filemnya. Razak mendakwa orang yang mengkritik filem arahannya sebagai yang tidak bijak dan mengkritik dengan mengikut perasaan.
Kecoh juga jadinya apabila Razak mendakwa walaupun filemnya dikritik, kutipan mencecah jutaan ringgit.
“Kalau filem saya tak bagus, takkan ia boleh dapat kutipan berjuta ringgit,’’ begitulah bunyinya apabila Razak naik angin. Razak juga menolak kritikan sesetengah pihak yang mengatakan filemnya teruk. Dia sebaliknya meminta mereka yang suka mengkritik itu haruslah juga menyokong karyanya juga.
Siapa kata filem arahan Razak “teruk”? Mustahil seorang pensyarah filem di UiTM menghasilkan filem yang teruk. Tambahan pula Razak antara yang mengajar pelajar-pelajar dia bikin filem bila keluar nanti.
Nampaknya Razak memberikan kaedah baru mengukur filem. Kaedahnya untuk mengukur filem yang baik, tengoklah berapa kutipannya. Kalau box-office jawabnya baiklah filem itu.
Haha? Kelakar juga. Box-Office itu bukankah maknanya laris.
Situasi lain, yang laris di jalanraya itu kereta murah ataupun kereta berkualiti seperti BMW?
3 Nov 2007, saya berkesempatan menonton P. Ramlee The Musical di Istana Budaya. Terima kasih kepada Abang Azerai dan kawannya atas ihsan mengundang saya untuk menonton pementasan yang hebat katanya. Apa yang lebih besar, impian saya tercapai juga akhirnya untuk menjejakkan kaki di Istana Budaya dalam tempoh pengajian di Universiti Malaya selama empat tahun.
Apa yang menambat hati saya ialah muzik pementasan itu sendiri. Chamber orchestra yang ditampilkan cukup memukau, dengan susunan muzik hebat oleh Erwin Gutawa menjadikan kumpulan pemuzik tersebut seolah-olah ia adalah a full size symphony orchestra. Kadangkala muzik diselangi unsur crescendo yang menarik menyebabkan saya tehibur dengan muziknya.
Attempt Gutawa untuk mencipta beberapa muzik tema sangat menarik, manghampiri kejayaan John Williams yang mencipta 1001 tema yang cukup sinonim dengan filem atau unsur tertentu. Dengar sahaja muzik, kita sudah boleh kaitkan dengan sesuatu watak. Lagu perlahan Dato' Siti Nurhaliza atau rancak muzik Infinatez misalnya cukup menggambarkan perwatakannya di pentas.
Tidak seperti John Ottoman yang mengadaptasi muzik John Williams untuk Superman Returns, Gutawa lebih berminat mencipta muzik tema baru yang lebih segar, namun menarik. Sekali-sekala diselit dengan lagu asal P.Ramlee seperti Gelora membuatkan pementasan muzikal ini tidak perlukan visual untuk dihayati.
Props? Tak terjangkau dek akal. Keretapi, adegan menonton wayang dan persembahan Saloma adalah antara yang saya minati.
Keseluruhannya, sebagai seorang penggemar muzik, saya memang tabik spring dengan usaha keras pasukan muziknya. Kalau dirakam dan diadun dengan baik, ia akan menjadi jauh lebih hebat daripada The Bolshoi Ballet Orchestra of Tashkent yang merakamkan lagu instrumental P.Ramlee sepuluh tahun lepas, menjadikannya satu masterpiece yang akan diingati sehingga bila-bila.
Baru lepas belek blog favourite, ada terbaca entri tentang ulasan filem. Tiba-tiba terlintas di fikiran tentang suatu kegemaran saya yang rasanya jarang (bukannya tiada) dikongsi dengan orang lain, iaitu mendengar runut bunyi asal (Original Sountrack (OST) kalau dalam bahasa antarabangsanya) ataupun skor muzik daripada filem. Sekurang-kurangnya, blog ini terisi, tidak terbiar macam Plaza Rakyat sebelah Puduraya. Haha.
Entah bila bermula kegemaran ini, saya pun tidak pasti. Walau gemar sekalipun, saya agak memilih juga dalam mendengar OST ini. Setakat ini, paling digemari adalah hasil kerja John Williams (Star Wars, Harry Potters dsb, banyak sangat!), Patrick Doyle (Harry Potter 4, Eragon), Howard Shore (The Lord of The Rings) dan berbagai lagi. Namun, bak kata Ramli MS (sudah lupa BiPop keluaran bila), entah bila filem Malaysia mampu untuk mempunyai skor muzik yang dimainkan oleh orkestra. Yalah, belanja mahal untuk pasaran yang kecil, siapa sanggup kan?
Oh ya, cubalah juga dengar-dengar koleksi lagu-lagu kartun Disney yang cukup asyik didengar seperti A Whole New World (Aladdin), Beauty and The Beast, Can You Feel The Love Tonight (The Lion King), Colours of The Wind (Pocahontas), Reflection (Mulan), If I Didn't Have You (Monsters Inc) dan berbagai lagi. Walau sekadar dari cerita animasi, namun saya kira setanding dengan lagu My Heart Will Go On (Titanic) atau sekurang-kurang lagu My Heart (Heast OST).
Saya seorang sahaja ke? Kepada semua, kalau rajin, dengarlah sama ya! (Kasihan roomateku yang kadangkala terpaksa mendengar gesekan biola dan tiupan brass yang tiada penyanyinya, haha!)
| Sun | Mon | Tue | Wed | Thu | Fri | Sat |
|---|---|---|---|---|---|---|
| 1 | 2 | |||||
| 3 | 4 | 5 | 6 | 7 | 8 | 9 |
| 10 | 11 | 12 | 13 | 14 | 15 | 16 |
| 17 | 18 | 19 | 20 | 21 | 22 | 23 |
| 24 | 25 | 26 | 27 | 28 | 29 |
Recent Comments