« October 2007 | Main | December 2007 »

Merajuk

Seringkali orang merajuk kerana dia kecil hati orang lain tidak mengendahkannya. Sama ada orang tidak memuliakannya dengan memberikannya satu kedudukan atau tempat yang istimewa, atau tidak menerima pandangannya, atau tidak menunaikan permintaannya.

Siapa yang kena penyakit merajuk? Penyakit merajuk ini boleh kena pada siapa-siapa sahaja, tidak kira lelaki atau perempuan, tidak kira tua atau pun muda, orang yang besar atau pun kecil, anak boleh merajuk dengan emak, emak boleh merajuk dengan anak.

Merajuk ini berpunca dari hati yang kurang ada rasa kehambaan. Bila tidak rasa diri hamba, dia akan merasakan yang dirinya itu tuan. Sebagai ‘tuan’, dia perlulah dimuliakan. Kata-katanya perlu didengar dan dikotakan.

Sebenarnya, hatinya marah kerana tidak diberi perhatian. Tetapi mungkin kerana malu atau tidak ada kuasa, ataupun mungkin kerana beranggapan yang marah-marah itu satu sikap yang lebih tidak baik, marahnya pun tidak dilepaskan. Sebaliknya, dia mengalihkan marahnya kepada merajuk. Dengan merajuk, orang akan faham yang dia sebenarnya marah walaupun dia sekadar mendiamkan diri sahaja.

Apakah merajuk lebih baik dari marah? Kedua-duanya adalah sifat terkeji yang mesti diungkai. Kedua-duanya timbul dari rasa diri mulia yang mesti dihormati. Lebih ditakuti lagi kalau orang yang merajuk itu menyangka yang sikapnya itu tidak salah atau dirinya itu lebih baik daripada orang yang marah-marah. Dia sebenarnya sudah tertipu. Dan kalau dia tidak bertaubat atas dosanya ini, dia akan dihukum di akhirat kelak.

Maka untuk mengubatinya, kita perlulah tanamkan sifat-sifat kehambaan. Sifat ini ialah merasakan yang Tuhan itu Maha Berkuasa. Dia boleh timpakan apa sahaja ke atas kita sama ada perkara yang kita suka ataupun tidak. Kalau kita membantah sama ada dengan cara marah-marah atau merajuk, kita bukan sahaja marah atau merajuk kepada orang yang “menyakiti hati” kita itu, tetapi kita juga sebenarnya menentang takdir Tuhan ke atas diri kita. Kalau Tuhan tidak izinkan perkara itu berlaku ke atas kita, tentu ia tidak akan berlaku. Berlakunya ia ke atas kita ialah kerana Tuhan memang hendakkan perkara itu berlaku.

Sifat kehambaan juga ialah merasakan yang kita ini hamba yang lemah dan tidak berkuasa. Siapalah kita yang hendak menolak takdir Tuhan. Kita harus terima apa sahaja yang Tuhan timpakan ke atas kita. Kalau orang tidak muliakan kita, memang kita pun tidak layak untuk dimuliakan.

Sebagai hamba, kita juga merasakan yang diri kita banyak berdosa. Justeru itu, layak sangatlah kalau hati kita disakiti, moga-moga dengan kita bersabar, Tuhan akan hapuskan dosa-dosa kita. Kita juga mungkin sudah lebih banyak menyakiti hati orang lain. Lantaran itu, kita patutlah bersabar bila hati kita sedikit sebanyak disakitkan pula...


Wallahu a'lam........

 

 

                            

Debat Diraja 2007

Sudah setahun sejak post saya yang lepas mengenai Debat Diraja 2006.

Kini, Pertandingan Debat Diraja 2007 sudahpun melabuhkan tirainya. Gelaran naib johan yang disandang oleh pasukan UM (Utama) amat disyukuri, walaupun gagal mempertahankan kejuaraan.

Benar, banyak yang saya pelajari dalam edisi debat diraja kali ini. Pendebat tidak boleh hadir dengan otak yang kosong. Subjek perdebatan serta isu untuk penghujahan perlu dikuasai agar perdebatan berlangsung secara intelek dan bukannya atas retorik semata-mata. Itulah kelemahan yang saya kira perlu untuk diperbaik untuk kejohanan akan datang.

Img_5902 Pengalaman digandingkan dengan Zul Fadhli dan Haris Mohd Ghazali (untuk kali pertama dan terakhir) merupakan pengalaman yang bermakna. Juga pertama kali diletakkan di posisi pendebat pertama sepanjang kejohanan memberi satu paradigma dan tanggungjawab baru untuk digalas. (Baru saya tahu betapa sukarnya tugas ini berbanding menjadi pendebat ke-2). Terima kasih pada Otel kerana pimpinan ke atas team berjaya ke pentas final untuk kali ke-n dan kepada Haris, sebagai newcomer dalam debat intervarsiti, anda sangat bagus. Selepas ini, tumpukan pada buku, jadikan debat sebagai kenangan terindah yang tidak akan dilupa sepanjang hayat.

Img_5875edited_1 Kepada yang lain, terima kasih daun keladi saya ucapkan. Buat Azizul, Azerai n Hasril, kalian amat bermakna buat kami. Pada yang lain; John, Dayat, Shen, Acap, Shahid, Shahril, Mazuin, Zati, Luqman, Zahid dan Fairus, terima kasih kerana menerima orang tua ini dengan baik sekali. Ingat pada anugerah yang kita kecapi pada malam tersebut, amat sukar untuk mencapainya, lagi sukar untuk mengekalkannya. Maka tanggungjawab yang anda pegang amatlah besar sekali.

Buat keluarga; ibu, ayah dan semuanya, terima kasih atas doa anda.

A Razak Dikritik

Baru lepas membaca artikel di utusan, tentang Prof A Razak yang banyak membuat filem. Katanya, filemnya teruk.

Razak Mohaideen marah dikritik

A.RAZAK Mohaideen naik angin apabila ada orang mengkritik filemnya. Razak mendakwa orang yang mengkritik filem arahannya sebagai yang tidak bijak dan mengkritik dengan mengikut perasaan.

Kecoh juga jadinya apabila Razak mendakwa walaupun filemnya dikritik, kutipan mencecah jutaan ringgit.

“Kalau filem saya tak bagus, takkan ia boleh dapat kutipan berjuta ringgit,’’ begitulah bunyinya apabila Razak naik angin. Razak juga menolak kritikan sesetengah pihak yang mengatakan filemnya teruk. Dia sebaliknya meminta mereka yang suka mengkritik itu haruslah juga menyokong karyanya juga.

Siapa kata filem arahan Razak “teruk”? Mustahil seorang pensyarah filem di UiTM menghasilkan filem yang teruk. Tambahan pula Razak antara yang mengajar pelajar-pelajar dia bikin filem bila keluar nanti.

Nampaknya Razak memberikan kaedah baru mengukur filem. Kaedahnya untuk mengukur filem yang baik, tengoklah berapa kutipannya. Kalau box-office jawabnya baiklah filem itu.

Haha? Kelakar juga. Box-Office itu bukankah maknanya laris.

Situasi lain, yang laris di jalanraya itu kereta murah ataupun kereta berkualiti seperti BMW?

Muzikal P. Ramlee

Muzikal_p_ramlee 3 Nov 2007, saya berkesempatan menonton P. Ramlee The Musical di Istana Budaya. Terima kasih kepada Abang Azerai dan kawannya atas ihsan mengundang saya untuk menonton pementasan yang hebat katanya. Apa yang lebih besar, impian saya tercapai juga akhirnya untuk menjejakkan kaki di Istana Budaya dalam tempoh pengajian di Universiti Malaya selama empat tahun.

Apa yang menambat hati saya ialah muzik pementasan itu sendiri. Chamber orchestra yang ditampilkan cukup memukau, dengan susunan muzik hebat oleh Erwin Gutawa menjadikan kumpulan pemuzik tersebut seolah-olah ia adalah a full size symphony orchestra. Kadangkala muzik diselangi unsur crescendo yang menarik menyebabkan saya tehibur dengan muziknya.

Attempt Gutawa untuk mencipta beberapa muzik tema sangat menarik, manghampiri kejayaan John Williams yang mencipta 1001 tema yang cukup sinonim dengan filem atau unsur tertentu. Dengar sahaja muzik, kita sudah boleh kaitkan dengan sesuatu watak. Lagu perlahan Dato' Siti Nurhaliza atau rancak muzik Infinatez misalnya cukup menggambarkan perwatakannya di pentas.

Tidak seperti John Ottoman yang mengadaptasi muzik John Williams untuk Superman Returns, Gutawa lebih berminat mencipta muzik tema baru yang lebih segar, namun menarik. Sekali-sekala diselit dengan lagu asal P.Ramlee seperti Gelora membuatkan pementasan muzikal ini tidak perlukan visual untuk dihayati.

Props? Tak terjangkau dek akal. Keretapi, adegan menonton wayang dan persembahan Saloma adalah antara yang saya minati.

Keseluruhannya, sebagai seorang penggemar muzik, saya memang tabik spring dengan usaha keras pasukan muziknya. Kalau dirakam dan diadun dengan baik, ia akan menjadi jauh lebih hebat daripada The Bolshoi Ballet Orchestra of Tashkent yang merakamkan lagu instrumental P.Ramlee sepuluh tahun lepas, menjadikannya satu masterpiece yang akan diingati sehingga bila-bila.